....this is a multi-language blog which muslim bloggers sharing their experience during their journey to Myanmar....... here I am trying to blog about my trip and vacation to Myanmar .... My whole trip experience will be covered in my several blogs...... some of the photos and experience here was cut and paste from others muslim blogger who have visit Myanmar before and the link of original blog was provide at the end of each blog ....hope it will benefit for future muslim traveller . I will write (also cut n paste) as n when I get time


Showing posts with label the journey of ibnuhasyim. Show all posts
Showing posts with label the journey of ibnuhasyim. Show all posts

Friday, June 18, 2010

Myanmar Muslim tour : Sumbangan Melayu Islam Kepada Myanmar..

Monday, July 6, 2009

Sumbangan Melayu Islam Kepada Myanmar..



(photo taken by Amy L. Beam, Rome, Italy, May 29, 2009; banner calling on Burma to free Aung San Suu Kyi who is being tried in spurious charges that she broke her terms of imprisonment in her home, where she has been imprisoned for 19 years. She was duet)

Selatan Myanmar

CATATAN PERJALANAN: MYANMAR 4

"ENCIK.. Kita ada beberapa jam lagi, sebelum pukul 5 petang. Biasanya waktu itu polis Myanmar akan menyiasat di hotel tempat tinggal encik dan dapat mengesan di mana encik berada. Kalau kita berada di luar 3 km dari bandar Pulau Dua ini, mereka akan tahu. Itu suatu kesalahan!" Kata Mohammad Yusuf pemandu motosikal yang membawa saya itu.

"Sampai begitu sekali?" Saya macam terkejut.

"Ya. Inilah Myanmar, sekarang." Dia mengangguk.

Baru saya teringat, kira-kira seminggu lebih sikit lalu, pemimpin-pemimpin Persatuan Eropah (EU) menyambut ulang tahun kelahiran ke 64 pemimpin pro-demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi. Mereka menggesa pembebasan segera tanpa syarat, dan draf pengisytiharan dikeluarkan pada sidang kemuncak EU menyatakan kredibiliti Myanmar untuk adakan pilihan raya tahun depan akan 'terus lemah' melainkan Suu Kyi dibebaskan.

Pemimpin-pemimpin EU menggesa rejim tentera Myanmar melaksanakan 'peralihan tulen kepada demokrasi'. Gambar Suu Kyi telah dipaparkan di bangunan Parlimen Eropah bagi membantah penahanannya. Suu Kyi menyambut hari lahirnya di penjara, sementara kempen-kempen membebasnya giat dijalankan di seluruh dunia dan internet. Mungkin inilah sebabnya peraturan berada di Myanmar kini terlalu ketat.

"Jadi kita nak ke mana? Bolehkah kita jumpa Imam Masjid Kampung ini?"

"Ya. Memang ke situlah saya nak bawa encik. Jumpa Ustaz Mohd Syafie, Imam Masjid Jannatun Naim Sepuluh Batu, Pulau Dua.." Katanya.

Sesampai di depan rumahnya, seperti biasa dia menyambut salam kami dengan ramah mesra dan menjemput kami masuk. Saya menyampai hasrat saya untuk menziarah teman-teman se agama di Myanmar. Rumahnya hampir sama gayanya dengan rumah Ustaz Mohd Yusof yang kami ziarahi tadi dan penduduk-penduduk Melayu Islam di situ.

"Pada saya, orang Melayu Islam di sini agak terpinggir. Tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar. Kalau dianggap anak pun sebagai anak tiri!" Kata ustaz itu.

"Takkan sampai begitu?"

"Dalam banyak program-program pemerintah, mereka tidak pernah memasukkan bangsa Melayu dalam senarai sebagai rakyat mereka." Jelas Ustaz itu lagi. "Yang mereka sebut ialah bangsa Karen, Myanmar, Siam, Mon, Kaya, Kecin dan Chea... Melayu tiada, Rohingya pun tiada!"

Myanmar yang terletak di antara garisan Sartan dan garisan Khatulistiwa, menerima iklim monsun tropika, menerima hujan 5000 mm setahun di kawasan pantai. Di kawasan delta, menerima hujan 2500 mm setahun. Sementara di Zon Kering (tengah Myanmar) hanya 1000 mm setahun. Kawasan pesisir pantai dan delta suhunya 32`C. Utara Myanmar suhunya 21`C. Pembangunan ekonomi Myanmar amat perlahan kerana faktor ekosistem dan alam sekitar. 49% Myanmar masih lagi berhutan tebal. Antara pokok utama ialah getah, acacia, buluh, kelapa, paya bakau dan kayu jati. Di Zon Kering, sayur-sayuran banyak ditanam . Sepanjang tanah pamah banyak ditanam dengan buah-buahan.

Mengikut sejarah, Orang Mon dipercayai menjadi kumpulan terawal pindah ke Lembah Ayeyarwadi dan pada pertengahan tahun 900 SM telah menguasai selatan Myanmar. Orang Mon ini menjadi orang Asia Tenggara pertama menganut agama Buddha Theravada. Orang Tibeto-Burman bercakap bahasa Pru tiba sekitar abad pertama SM. Mereka tinggal di Lembah Ayeyarwadi. Kerajaan orang Mon dan Pyu giat melakukan kegiatan perdagangan antara China dengan India. Kerajaan Pyu menguasai Lembah Ayeyarwadi untuk beberapa ketika.

Di zaman penjajahan 1886-1948 di Myanmar, penjajah British telah membawa masuk buruh India dan buruh China di kawasan bandar bagi merancakkan perdagangan dan pembinaan infrastruktur Myanmar. Menyebabkan kesannya hari ini bandar Yangoon dan Mandalay terdapat ramai orang India, yang juga menyaingi bangsa Mon tadi. Bahkan di Malaysia lebih lagi, kaum-kaum pendatang tersebut akhirnya menjadi kuasa penentu dalam politik Malaysia masa kini. Kaum India dan China yang dibawa ke Myanmar itu asalnya ditugaskan membina landasan kereta api dan sekolah waktu itu.

Sedangkan orang-orang Mon ini terus memperjuangkan kemerdekaan dan kebebasan politik mereka. Sehingga penjara Insein menempatkan sejumlah besar banduan terutama banduan politik seperti mereka. Banyak terjadi perlawanan dan tumpah darah sehingga tahun 1930. Contohnya, pakai kasut di dalam kuil Buddha adalah perkara sensitif. Perlanggaran tersebut pernah mencetuskan bantahan dari sami-sami Buddha, apalagi sami-sami Buddha tersebut menjadi pejuang-pejuang kemerdekaan Myanmar dan berlaku penentangan sehingga ramai yang terbunuh.

Antara sami yang terkenal ialah U Wisara yang mati dalam penjara selepas 163 hari mogok lapar membantah peraturan-peraturan baru di kuil Buddha. Sajak oleh Tudyard Kipling bertajuk 'Mandalay' mengingatkan betapa kesusahan hidup semasa zaman kolonial British. Hal ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh Ustaz Mohd Syafie kepada saya, "Kami orang Melayu Islam Myanmar bukan sahaja menjadi rakyat taat, mengikut pemerintah sebagai rakyat yang baik, bahkan pernah bersama-sama membantu perjaungan kemerdekaan negara ini..."

"Eh betul ke? Maaf.. saya belum tahu lagi sejarah ini."

"Begini.." Katanya lagi, sambil membetulkan kedudukan di kusyen lama di ruang tamu. Anak gadisnya datang menghidangkan air yang disuruh buatkan. "Pada 1 April 1937, Myanmar berjuang untuk mendapatkan pentadbiran berasingan dari British di India. Pada 1940an, 30 komrad telah menerima latihan ketenteraan di Jepun diketuai Ang San atau dipanggil juga Bucu Asa. Kamu tahu siapa dia?" Saya menggeleng kepala.

Jelasnya lagi, "Ang San atau Bucu Asa yang telah mengasaskan Tentera Kemerdekaan Burma. Dia yang memimpin Liga Kemerdekaan Rakyat Anti Fasis (AFPFL) pada 1945, berjuang memerdekakan Myanmar dari cengkaman Jepun. Dia sendiri akhirnya terkorban dibunuh oleh musuh-musuh politiknya pada 1947. Semasa Perang Dunia Kedua, Myanmar atau Burma yang dikenali juga dengan 'Negara Seribu Pagoda' menjadi barisan depan berhadapan dengan penjajahan tentera Jepun di Asia Tenggara. Pemerintahan British dikalahkan dengan teruk oleh tentera Jepun. Lebih 300,000 buruh India dan Anglo-Burma melarikan diri ke dalam hutan dan tiba di India."

"Memang puak-puak itu bukan puak perjuangan, puak cari duit saja. Patut pun mereka lari!" Sampuk Mohammad Yusuf.

"Tetapi tentera India British kembali menyerang semula dan merampas Myanmar pada Julai 1947. Ramai rakyat Burma berjuang bersama tentera Jepun, ramai juga yang berkhidmat dengan Tentera British Burma termasuk pahlawan Aung San yang terkorban itu. Yang saya nak jelaskan, orang kuat atau tulang belakang pahlawan tersebut adalah seorang yang bernama Abdul Razak. Dia adalah orang Melayu yang beragama Islam. Dan... pahlawan yang dibantu itu adalah ayah kepada Suu Kyi, seorang yang dikenali sekarang sebagai pejuang demokrasi bergelar Aung San Suu Kyi, yang ayahnya terkorban semasa dia masih berumur 2 tahun."

"Oh. Jadi bangsa Melayu Islam memang ada bakti dan bukti dalam perjuangan membebaskan kemerdekaan Myanmar!" Kata saya.

Tiba-tiba Mohammad Yusuf mengeluarkan dua jenis wang kertas Myanmar dan menunjukkan kepada saya gambar yang tertera di duit itu, "Ni gambar panglima Aung San, kerajaan Myanmar menghormatinya sebagai pejuang bangsa di duit ini, cuma bangsa Melayu yang menjadi orang kuatnya tidak ditonjol. Bahkan hak bangsa Melayu dan Islam di negara itu telah dinafikan." katanya sambil mengetap bibir, walaupun Mohammad Yusuf bukan keturunan Melayu tetapi beragama Islam.

"Tetapi hak mengamalkan Islam di sini tidak dilarang!" Saya cuba mententeramkan. "Itu gambar 2 gadis yang tergantung di dinding itu masih boleh berpakaian menutup aurat. Orang kampung masih boleh mendirikan masjid dan tidak dilarang sembahyang. Tuan Haji masih boleh berurusan dengan orang Islam di luar negara.."

"Itu betul. Tetapi ibadat bukan cuma ibadat khusus sahaja, ada ibadat umum.. peribadi, keluarga, masyarakat bahkan negara, pendidikan, perundangan dan syariat Islam. Kalau beragama yang menegur atau menghalang kezaliman pemerintah tentu mereka marah." Ustaz itu menjelaskan. Sedang mataku masih merenung gambar dua gadis yang cantik manis sama seperti gadis Melayu di kampung-kampung di Malaysia.

"Gambar gadis itu adalah anak saya. Memanglah saya didik suruh pakai tudung menutup aurat, bersekolah agama dan mengamalkan cara hidup Islam. Baru-baru ini kami penduduk Islam di sini buat majlis pertemuan dengan Duta Malaysia, tidak dilarang oleh pemerintah. Bahkan tuan duta itu terkejut melihat ramai dan banyaknya kampung-kampung Melayu di sini. Ramai yang berhubungan dengan negara Malaysia.. dan anak saya pun ada yang berkahwin dengan pemuda Malaysia." Katanya dengan ramah dan sentiasa tersenyum.

Ringkas.. akhirnya saya minta diri dulu. Tiba-tiba anak gadisnya yang menghidang air rupanya seperti di dalam gambar itu melintas. "Itu anak gadis saya yang bongsu.. " Katanya. Terfikir-fikir pula saya, kalau ada anak-anak muda Malaysia ingin beristeri orang Myanmar, yang sesuai boleh saya rokemenkan. Kerana sangat tertarik.. kalau dengan saya memanglah tak padan!! Siapa berminat sila beritahu...

As-salamu alaikum??

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Malaysia Julai 06, 2009.

Myanmar Muslim Tour : Pembangunan Hambat Orang Melayu..

Sunday, June 28, 2009

Pembangunan Hambat Orang Melayu..

CATATAN PERJALANAN: MYANMAR 2 Ibnu Hasyim(kiri) bersama rakan pembawa motosikal tambang Mohammd Yusuf.


"JOM kita pergi ke pulau Tongtong pula!"

"Pulau Tongtong?" Saya tanya kerana puluhan tahun dulu saya pernah dengar nama itu sewaktu saya berziarah di Pulau Pinggai. "Dulu khabarnya, tiada langsung orang bukan Islam di sana. Sekarang bagimana?"

"Oh.. Sekarang sudah maju. Pulau itu berhampiran Pulau Dua, kerajaan dah buat jambatan ke sana." Jawab temanku yang sedang membawaku. Apabila berjalan beberapa kilometer, kami pun sampai. Kami belok di tepi laut melintasi sebuah jambatan. Bukan jambatan, tetapi tanah yang ditambak, macam Tambak Johor cuma tidak sepanjang Tambak Johor. Tambak tanah merah sahaja berdindingkan batu-bata dan kayu bakau yang dipacak. Hanya untuk motosikal, kereta belum boleh lalu.

Walau naik motosikal, tapi terasa macam naik kuda. Sampai ke 2/3 perjalanan atas jambatan, tiba-tiba jambatan seolah-olah terputus. Rupanya air laut sedang pasang, tenggelam kira-kira sekaki. Namun mosikal kami tetap merempuh dan merentas juga. Kalau tersangkut dan terbalik, ha.. kuyuplah aku! Itupun kena tol lagi!! Kalau dengar kepada puak-puak UMNO kampung di Malaysia, tentu dia kata, tenguk kerajaan BN lagi baik, buat jalan cantik, walaupun tolnya tinggi. Dia tak tahu ke kerajaan komunis pun pandai jaga kepentingan pembangunan rakyatnya. Kerajaan Thai dah setahun beri pengangkutan percuma rakyatnya naik keretapi dan sebahagian bas-bas di kota.

Sesampai ke dalam pulau, kami melawati kampung-kampung Melayu. Suara azan bergema dari sebuah masjid. Ramai orang Melayu-Islam penduduk asal di sana. Walaupun begitu ramai juga orang Burma atau Myanmar dan yang bukan Islam berpindah tinggal di sana. Hingga ke hujung pulau kerajaannya membuat kawasan peranginan di tepi pantai, kedai makan, rumah dan bilik-bilik sewa. Semasa berehat di bawah payung atap yang disediakan, saya renung ke laut, nampak perempuan cantik di atas batu dalam laut, berendam tidak bergerak-gerak. Rupanya bukan manusia, patung ikan duyung!

"Di sinilah perempuan-perempuan lacur dibawa dari utara ke mari." Kata kawan saya itu sambil menunjukkan arah rumah-rumah sewa yang tersebut.

"Siapa pelanggan-pelanggannya?"

"Orang-orang dari Yangon dan kawasan diutara daerah ini! Bukan orang luar, pelancung seperti encik. Encik sebenarnya tidak boleh keluar dari pekan Pulau Dua sekitar 3 batu persegi. Pihak polis sentiasa membuat siasat mengejut mencari pelancung yang melanggar perintah. Sebenarnya encik dah melanggar peraturan.." jelas kawan saya lagi. Saya diam tiada peduli, dia yang bawa saya. "Itulah pembangunan yang menghambat orang Melayu. Mereka cuba menggugat agama orang Melayu. Mereka cuba menutup pengaruh orang luar kepada rakyat tempatan. Memang dulu tiada orang kafir di sini, sekarang sudah diimport ramai-ramai!"

Teringat saya kepada sejarah di Malaysia. Asalnya orang Melayu-Islam ramai dengan peratus yang tinggi, sekarang sudah berkurang, walaupun masih majoriti. Sehingga orang bukan Islam memiliki kuasa penentu dalam politik Malaysia. Teringat saya kepada ceramah Prof Dr Zulkifli Muhammad Timbalan atau Naib YDP Agung PAS di zaman Dr Burhanuddin Al-Helmy, antara kata-katanya lebih kurang, 'Orang Melayu (Malaysia) tidak akan dapat dihambat dengan muncung senapang, tetapi dihambat melalui projak-projek pembangunan terhimpit tersepit hingga kebukit... '

Seperti yang dilakukan di Singapura, penempatan orang Melayu dipecah-pecahkan, supaya mudah diperintah. Begitu juga kata musuh-musuh Islam dari Barat (British) dan Timur (Marxis), 'umat Islam tidak akan dapat ditewaskan dengan kekerasan selagi ia berpegang kepada Al-quran, tetapi hendaklah dipisahkan mereka dari agama mereka' melalui arak, dadah, lagu-lagu hiburan, politik asobiah dan lain-lain.

Myanmar Muslim Tour : Myanmar Juga Milik Orang Melayu

Thursday, July 2, 2009

Myanmar Juga Milik Orang Melayu


CATATAN PERJALANAN: MYANMAR 3

PERJALANAN diteruskan. Kini kami ke rumah Ustaz Haji Mohd Yusof, bukan Muhammad Yusuf pemandu motosikal yang membawa saya ke sana itu. Dari Pulau Tongtong, ke Sepuluh Batu. Kampung yang di bawah pohon-pohon nyiur melambai-lambai, di atas tanah pasir putih bersih di tepi laut. Rumah papan tradional orang Melayu.

Disambutnya kami dengan mesra, saya memberitahu hasrat nak tahu mengenai orang Melayu Pulau Dua ini, setelah menjemput kami masuk, katanya... "Dulu sebelum bandar Pulau Dua yang ada sekarang menjadi pusat pemerintahan wilayah Kawthoung di Myanmar, pusat pemerintahannya adalah di Malay One.. beberapa batu lagi tambah jauh dari sini tinggalkan pekan Pulau Dua."

"'Malay One'! Melayu Satu, perkataan Inggeris??" Saya tanya.

"Ya. Inggeris menamakan tempat itu. Ertinya, Inggeris mengiktiraf orang Melayu sudah ada di sini." Jawabnya. "Nama Myanmar berasal dari istilah 'Myanma Naingngandaw' yang digunakan sejak abad ke 12 lagi. Tetapi asal-usulnya tidak begitu jelas." Menurutnya, nama itu digunakan semula dari nama sebelum itu 'Burma', pada 1989 dan telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, tetapi tidak diiktiraf oleh Amerika Syarikat dan Inggeris, United Kingdom kerana ia diperintah oleh kerajaan junta.

Bila saya lihat dalam Wikipedia, Myanmar merdeka dari United Kingdom pada 4 Januari 1948 sebagai 'Kesatuan Burma' . Kemudian bertukar kepada 'Republik Sosialis Kesatuan Burma' pada 4 Januari 1974. Akhirnya, sekali lagi bertukar kepada 'Kesatuan Burma' pada 23 September 1988. Maka pada 18 Jun 1989, Majlis Pelembagaan menukar nama kepada 'Kesatuan Mynamar' seperti yang ada sekarang.

Myanmar bersempadan dengan Republik rakyat China di utara, Laos di timur, Thailand di tenggara, Laut Andaman di selatan serta Teluk Bengal di barat daya. Satu per tiga tanah Myanmar atau 1,930 km dikelilingi oleh pesisiran pantai dari keluasan Myanmar 678,500 km persegi. Negara terbesar di tanah benua Asia Tenggara dan ke 40 terbesar di dunia selepas Zambia, tetapi lebih kecil dari negeri Texas di Amerika Syarikat.

"Rumah dan tanah tempat kami duduk di pesisir pantai ini adalah warisan turun temurun dari banga Melayu, seingat saya." Katanya "Walaupun pada 1989 kerajaan junta tentera telah mengubah nama 'Burma' yang digunakan Inggeris kepada Myanmar, dan banyak tempat lain turut ditukar, termasuklah bandar Rangoon kepada Yangon, namun nama-nama Melayu di selatan Myanmar masih lagi kekal, walau ada juga akhir-akhir ini cubaan menukar dari nama-nama itu kepada nama dalam bahasa Myanmar."

"Contohnya??"

"Ya. Contohnya, Pulau Dua, Pulau Tongtong (binatang sejenis penyu), Sungai Gelama (ikan), Sepuluh Batu, Kepala Batu, Tanjung Badai, Pasir Panjang, Malay One, Cham Prong (dalam bahasa Siam bererti 'sekor gajah' tetapi penghuninya orang Melayu Thai), Teluk China, Teluk Besar, Mek Puteh (nama wanita Melayu), Sungai Balai, Pulau Balai, Pulau Cek Ali (Nama lelaki Melayu Islam), Tanjung Peluru, Teluk Peluru, Tanjung Gasi, Pulau Rotan Helang, Pulau Senangin dan banyak lagi.." Jelas Mohd Yusof lagi.

Sistem politik di Myanmar kini, di dikawal oleh Majlis Pembangunan dan Keamanan Negara yang menguasai kerajaan sejak 1992, dan dipimpin oleh kerajaan junta tentera di bawah Jeneral Than Shwe. Tentera Burma telah berjaya menguasai pemerintahan semenjak Jeneral Ne Win memimpin rampasan kuasa pada 1962 dan menumpaskan kerajaan awam pimpinan U Nu. Sepanjang pemerintahan Empayar British sehingga 1948, Burma terus berhadapan dengan masalah ketegangan kaum. Kebudayaan Myanmar, seperti jirannya juga, berasaskan kepercayaan Buddha Theravada dengan ubahsuai dan tambahan elemen tempatan.

Begitulah kira-kira maklumat yang saya dapati setelah beberapa jam berziarah di rumahnya. Satu bukti, bumi dan negara Myanmar juga adalah milik bangsa Melayu. Saya bangun dan terlangak-langak mencari sesuatu di dalam rumahnya. "Kenapa?" Tanya isteri Mohd Yusof kepada saya.

"Saya nak cari bilik air, nak berwuduk. Nak sholat dah agak lewat ni!!"

"Oh! Di belakang rumah ini ada perigi... Tolong tunjukkan!" katanya pada suaminya.

Ya. Saya pun ke pergi belakang rumah menggunakan perigi. Terbayang saya sewaktu kecil-kecil, menceduk air dari perigi kira-kira 30 ke 40 tahun dulu di kampung Balik Pulau Pulau Pinang. Hampir macam inilah, keadaannya. Menceduk dan mengangkut air, suatu kerja menolong ibu waktu kanak-kanak yang paling saya malas dan bosan...

...bersambung.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
KL Julai 02 2009.

Myanmar Muslim Tour : Orang Melayu Myanmar.

Sunday, June 28, 2009

Sunday, June 28, 2009

Orang Melayu Myanmar.

http://www.ibnuhasyim.com/2009/06/orang-melayu-myanmar.html

CATATAN PERJALANAN: MYANMAR 1

Antara rumah Melayu tepi laut di Kampung Melayu 'Dua Batu'..

Salah sebuah masjid di pekan 'Pulau Dua' atau 'Victoria Point'. Di belakangnya macam nenara masjid juga, tetapi rumah ibadat orang Buddha.

Gambar di pelabuhan Ranong Thailand, menuju Myanmar.

SEMALAM selepas menulis pemberitahuan mengenai kemungkinan tidak dapat hadir berceramah di Tanjung Karang Selangaor, jam sudah hampir pukul 10 malam waktu Myanmar, kedai internet yang saya guna dah nak tutup. Saya terpaksa keluar dari situ.

Teringat saya tengahari tadi, waktu mula-mula sampai di Pulau Dua atau Victoria Point dalam daerah Kawthoung, sebuah semenanjung Selatan Myanmar. Semasa berada di pejabat imigresen membuat laporan, pegawainya memberitahu.. "Kami terpaksa simpan paspot anda.. dan anda kena tinggal di hotel yang ditetapkan, yakni cuma boleh di dua buah sahaja di sini. Tidak boleh keluar jauh dari kawasan ini (sekitar 3 kilometer sahaja)." katanya.

"Bagaimana kalau saya nak ke Yangon?" Saya tanya.

"Tak boleh.. kena ada visa khas. Kena minta permit profesional. Kena ada jaminan syarikat perniagaan di sini.."

Saya nak jimatkan masa untuk pulang ke Malaysia cepat. "Sebagai pelancung pun tak boleh?"

Dia menggeleng kepala. "Tak boleh!". Tegas tapi tersenyum. Saya pun bayar wang yang ditetapkan 10 AS dolar, lalu pergi, dan selesaikan masalah hotel pula.

"Saya nak melawat saudara-saudara kita yang beragama Islam! Di mana mereka?" Saya tanya seorang pemandu motosikal tambang. Dia seorang Myanmar beragama Islam. Menurutnya, dia berketurunan bangsa Pusto-Myanmar, yang masuk Islam di zaman remaja puluhan tahun lalu berkahwin dengan gadis Melayu warga Myanmar. Dia pernah bekerja di Malaysia dan pandai bahasa Malaysia, dia memilih nama Muhammad Yusof.

"Jom kita pergi ke kampung Melayu 'Dua Batu'!" Sebenarnya batu ke 2, tetapi begitu sebutan orang di sana. Dari pekan itu kami bertolak dengan motosikal melalui jalanraya hingga ke batu 2 itu, kami turun bukit arah pantai menyusup di celah-celah rumah orang Melayu. Macam rumah-rumah tradisional lama orang Kedah. Berselerak, tidak teratur di atas pasir putih pantai. Melintasi beberapa kawasan perigi tempat mandi, ramai wanita-wanita dan gadis sedang mandi berkemban. Macam budaya orang Melayu di Malaysia dulunya. Tak sampai hati saya nak ambil gambar.. malu.

Apabila mereka tahu saya orang Malaysia, ramai-ramai tunggu di muka pintu rumah masing-masing. Belum sempat saya beri salam, mereka beri salam dulu, dengan senyam ajak naik ke rumah. "Mai minum kopi dulu!" kata mereka dalam bahasa Melayu loghat Kedah atau Satun, selatan Thai.

Saya pun singgah di salah sebuah rumah. Rumah itu berbumbung dan dinding dari atap nipah. Makin ramai yang datang berkumpul. "Ada berapa rumah orang Melayu di sini?"

"Kira-kira 100 buah.. Semuanya Melayu beragama Islam! Hidup ikut budaya orang Melayu. Ajak la kawan-kawan dari Malaysia mai jenguk-jenguk tenguk kami ni!" Jawabnya.

Saya tanya lagi, "Banyak ke lagi kampung Melayu macam ni di Pualau Dua ni?"

"Lebih dari sepuluh kampung!". Begitulah mesranya mereka.. kerana bertemu sesama Islam yang berjauahan dan satu turunan pula. Akhirnya kami berpisah.

"Jom kita ke kampung Melayu yang lain pula. kita jumpa pemimpin dan tok guru mereka pula!" Pelawa Mohd Yusof pemandu motosikal tambang itu.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Pulau Dua Selatan Myanmar
Jun 28, 11.10 pagi waktu Myanmar.

Sila lihat catatan lalu.. Wednesday, April 16, 2008

Thursday, June 17, 2010

Myanmar Muslim Tour : bahasa kedah di myanmar

Pendekar Ibnu Hasyim: CATATAN PERJALANAN

BARU-BARU ini keluar berita mengenai ramai pendatang-pendatang Myanmar tanpa izin mati di dalam kontena telah dijumpai oleh pihak berkuasa Thailand, di kawasan Ranong. Ranong adalah sebuah bandar pelabuhan bersempadan dengan Selatan Myanmar… Hal ini mengingatkan saya kepada pengalaman melintasi sempadan melalui laut dari Ranong ke Victoria Island sebuah pulau, di hujung bawah selatan dalam negeri Myanmar.

Saya juga pergi-balik ke situ Thai-Myanmar dengan tanpa izin, iaitu tidak menggunakan pasport atau istilahnya secara haram. Tongkang kecil yang saya tumpangi sarat muatan kira-kira 30 penumpang melayari laut biru yang tenang masa itu. Sahabat saya orang tempatan menasihatkan supaya membuka cermin mata yang saya pakai, biar nampak macam orang tempatan yang biasanya nelayan-nelayan tidak pakai cermin mata, bila melalui pusat kawalan sempadan di pertengahan jalan.

Hal ini dilakukan supaya saya tidak ditahan imigresen kerana tidak tunjukkan pasport, menunjukkan betapa mudahnya menyeberang sempadan laut dari Myanmar. Tongkang kami terus membelah lautan kecil itu hingga ke distinasinya. Dari jauh nampak kesibukan penghuni-penghuni pulau kecil itu. Ramai orang Islam di situ. Menarik, bila sampai, saya lihat pekerja-pekerja kontek yang lelakinya mengangkat batu-bata cuma pakai kain pelikat, disenteng ke paras lutut sahaja.

Mereka lihat saya sebagai orang luar beragama Islam dengan begitu mesra. “As-salamu ‘alaikum?” Sapa saya.

“Wa’alaikumus salam warahmatullah!” Jawab salah seorang dari mereka.

Saya pergi solat sunat ke sebuah masjid di situ. Keluar dari masjid, tiba-tiba seseorang memberi salam dan bertanya saya dari mana…

“Dari selatan Thai.” Jawab saya.

“Heiyy.. Hang habak betui-betui, Aku tengok cara hang pun aku tau.. hang dari Malaysia.” Jawabnya dalam bahasa loghat utara. Kami bersalaman. “Jangan takut.. Di sini aman. Tak dak kacau-kacau. Jom kita jalan sama-sama.”

Begitulah, sesudah kami berjalan-jalan sekitar pekan itu, dia perkenalkan ramai kawan-kawannya, yang semuanya berbahasa Melayu loghat Kedah. Saya seolah-olah berada di negara sendiri, bukan di Myanmar lagi. Saya melawat beberapa kedai yang berderetan. Ada sebuah kedai berisi biji gajus, juga disebut ‘janggus’, yang penuh di dalamnya. Mungkin dari situlah dieksport ke Thailand. Banyak juga kedai yang menjual batu-batu permata dari Myanmar.

Begitu juga gelas-gelas dan barangan kaca mungkin buatan China. Ada peti besi bertulis ‘Made in Malaysia’ macam yang pernah digunakan oleh nenek saya di kampung Pulau Pinang dulu. Sakarang dah tak ada lagi. Ada minyak atar atau minyak wangi cap ular, juga sekarang sudah tak nampak lagi digunakan di Malaysia, kerana dulunya memang termasyhor. Ada minyak panas berjenama terkenal di Malaysia dulunya, iaitu ‘Tiger Balm’.

Di situ sempat pula seorang wanita muda jelita bertudung kepala, mungkin anak taukeh kedai itu bertanya saya, “Encik dari Malaysia? Boleh tolong dapatkan maklumat bagaimana saya nak masuk ke Unversiti Islam Antarabangsa (UIA) di negara encik?” Begitu, anggapan dan harapan mereka terhadap perkembangan Islam di negara kita. Lepas itu dalam perjalanan pulang, saya singgah di sebuah pulau bernama Pinggai, erti bahasa Melayunya ‘Tempayan Pecah’. Pulau tersebut walaupun bersempadan dengan Myanmar tetapi masih dalam negara Thai.

“As-salamu ‘alaikum? Selamat datang ke Pulau Ping Gai!” Kata pengulu pulau itu, semasa saya sampai di jeti pelabuhan dan berkenalan dengannya.

Ahli keluarganya yang bernama Tok Adam mula-mula meneroka pulau itu kira-kira ratusan tahun lalu. Adam berasal dari negeri Kedah, Semenanjung Tanah Melayu. “Tu pasai kami di sini semua cakap bahasa Kedah. Semua penduduk di sini beragama Islam. Takdak sekoq pun kapiaq Siam dok di sini. Macam tu jugak di Pulau Tongtong di sempadan balik sana.. di Myanmar. Semuanya Islam, cakap Kedah belaka. Depa pun kawan-kawan kita jugak.” Katanya lagi.

“Al-hamdulillah!”

“Jom ke rumah saya. Kita makan-makan. Lepas tu, kalau nak jalan-jalan melawat pulau ni boleh la. Hujung sana ada sebuah masjid, sekolah taman bimbingan Islam, cikgunya mai dari Pattani dan ada juga sebuah pusat kesihatan kecik kerajaan…”

Dari jeti saya diiring ke rumahnya. Di perjalanan anak mereka sedang mandi-manda di air laut yang sedang pasang. Berbogel.. dan terjun, menyelam, berkejar-kejaran. Ikan-ikan kecil berlarian di air yang bagaikan cermin jernihnya. Se sampai di rumahnya, isterinya terus masak nasi tengahari dengan ikan besar yang baru di tangkap dari laut sebagai lauk. Bila dimakan jelas terasa lemak manis dan sedapnya. “Al-hamdulillah! Allah pertemukan saya dengan mereka yang se agama di sini, tidak disangka-sangka!” Kotak fikir bergolak.

“Kalau nak jalan-jalan di pulau ni, silakan! Nak tidur dan bermalam di sini pun takpa, rumah saya sentiasa terbukak!!” Katanya ikhlas mempelawa saya. Saya sempat melawat sekitar pulau itu dan akhir singgah solat di masjid.

“Maaf. Saya memang suka tidur di sini, tetapi saya sudah berjanji dengan seseorang untuk tidur di rumahnya di bandar Ranong malam ini.” Saya jelaskan.

“Oh, kalau lagu tu takpa. Takpa nu. Kalau ada umuq lain kali kita jumpak lagi, insya Allah!!”

Masih terngiang-nyiang di telinga saya, pesanan akhir darinya sewaktu menghantar saya di pelabuhan. Katanya, “Bila hang sampai di Malaysia jumpak orang Kedah, kalau ada kesempatan kirim salam kat depa nu, kata kat dia… Nun jauh hampiaq ribu-ribu batu dari negeri hampa di ujung selatan Burma sana, ada sekumpulan manusia yang sama keturunan dengan hampa sama-sama Kedah, sama-sama cakap Kedah sedang teringat dan rindu kat hampa. Mai la ziarah kami, bila-bila masa saja, kami sentiasa tunggu dengan gembira! Mai la!!”

Hal ini berlaku kira-kira 10 tahun yang lalu. Bersambung.. Insya Allah.

Sila ikuti catatan perjalanan penulis ke Kemboja, Thailand, Myanmar, Indonesia, Filipina, Pakistan dan Saudi Arabia di blog penulis bawah tajuk-tajuk berikut:

i. Orang Melayu Kemboja I & 2 ii. Demontrasi Adalah Tunjuk Perasaan I & 2 iii. Wanita Muda Kehausan I & 2 iv. Kerdipan Sebelah Mata Pelacur 1 & 2 v. Jajah Melalui Fikiran, Budaya & Filem…

Catatan Perjalanan: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 15-04-08KL.