....this is a multi-language blog which muslim bloggers sharing their experience during their journey to Myanmar....... here I am trying to blog about my trip and vacation to Myanmar .... My whole trip experience will be covered in my several blogs...... some of the photos and experience here was cut and paste from others muslim blogger who have visit Myanmar before and the link of original blog was provide at the end of each blog ....hope it will benefit for future muslim traveller . I will write (also cut n paste) as n when I get time


Thursday, June 17, 2010

Myanmar Muslim Tour : bahasa kedah di myanmar

Pendekar Ibnu Hasyim: CATATAN PERJALANAN

BARU-BARU ini keluar berita mengenai ramai pendatang-pendatang Myanmar tanpa izin mati di dalam kontena telah dijumpai oleh pihak berkuasa Thailand, di kawasan Ranong. Ranong adalah sebuah bandar pelabuhan bersempadan dengan Selatan Myanmar… Hal ini mengingatkan saya kepada pengalaman melintasi sempadan melalui laut dari Ranong ke Victoria Island sebuah pulau, di hujung bawah selatan dalam negeri Myanmar.

Saya juga pergi-balik ke situ Thai-Myanmar dengan tanpa izin, iaitu tidak menggunakan pasport atau istilahnya secara haram. Tongkang kecil yang saya tumpangi sarat muatan kira-kira 30 penumpang melayari laut biru yang tenang masa itu. Sahabat saya orang tempatan menasihatkan supaya membuka cermin mata yang saya pakai, biar nampak macam orang tempatan yang biasanya nelayan-nelayan tidak pakai cermin mata, bila melalui pusat kawalan sempadan di pertengahan jalan.

Hal ini dilakukan supaya saya tidak ditahan imigresen kerana tidak tunjukkan pasport, menunjukkan betapa mudahnya menyeberang sempadan laut dari Myanmar. Tongkang kami terus membelah lautan kecil itu hingga ke distinasinya. Dari jauh nampak kesibukan penghuni-penghuni pulau kecil itu. Ramai orang Islam di situ. Menarik, bila sampai, saya lihat pekerja-pekerja kontek yang lelakinya mengangkat batu-bata cuma pakai kain pelikat, disenteng ke paras lutut sahaja.

Mereka lihat saya sebagai orang luar beragama Islam dengan begitu mesra. “As-salamu ‘alaikum?” Sapa saya.

“Wa’alaikumus salam warahmatullah!” Jawab salah seorang dari mereka.

Saya pergi solat sunat ke sebuah masjid di situ. Keluar dari masjid, tiba-tiba seseorang memberi salam dan bertanya saya dari mana…

“Dari selatan Thai.” Jawab saya.

“Heiyy.. Hang habak betui-betui, Aku tengok cara hang pun aku tau.. hang dari Malaysia.” Jawabnya dalam bahasa loghat utara. Kami bersalaman. “Jangan takut.. Di sini aman. Tak dak kacau-kacau. Jom kita jalan sama-sama.”

Begitulah, sesudah kami berjalan-jalan sekitar pekan itu, dia perkenalkan ramai kawan-kawannya, yang semuanya berbahasa Melayu loghat Kedah. Saya seolah-olah berada di negara sendiri, bukan di Myanmar lagi. Saya melawat beberapa kedai yang berderetan. Ada sebuah kedai berisi biji gajus, juga disebut ‘janggus’, yang penuh di dalamnya. Mungkin dari situlah dieksport ke Thailand. Banyak juga kedai yang menjual batu-batu permata dari Myanmar.

Begitu juga gelas-gelas dan barangan kaca mungkin buatan China. Ada peti besi bertulis ‘Made in Malaysia’ macam yang pernah digunakan oleh nenek saya di kampung Pulau Pinang dulu. Sakarang dah tak ada lagi. Ada minyak atar atau minyak wangi cap ular, juga sekarang sudah tak nampak lagi digunakan di Malaysia, kerana dulunya memang termasyhor. Ada minyak panas berjenama terkenal di Malaysia dulunya, iaitu ‘Tiger Balm’.

Di situ sempat pula seorang wanita muda jelita bertudung kepala, mungkin anak taukeh kedai itu bertanya saya, “Encik dari Malaysia? Boleh tolong dapatkan maklumat bagaimana saya nak masuk ke Unversiti Islam Antarabangsa (UIA) di negara encik?” Begitu, anggapan dan harapan mereka terhadap perkembangan Islam di negara kita. Lepas itu dalam perjalanan pulang, saya singgah di sebuah pulau bernama Pinggai, erti bahasa Melayunya ‘Tempayan Pecah’. Pulau tersebut walaupun bersempadan dengan Myanmar tetapi masih dalam negara Thai.

“As-salamu ‘alaikum? Selamat datang ke Pulau Ping Gai!” Kata pengulu pulau itu, semasa saya sampai di jeti pelabuhan dan berkenalan dengannya.

Ahli keluarganya yang bernama Tok Adam mula-mula meneroka pulau itu kira-kira ratusan tahun lalu. Adam berasal dari negeri Kedah, Semenanjung Tanah Melayu. “Tu pasai kami di sini semua cakap bahasa Kedah. Semua penduduk di sini beragama Islam. Takdak sekoq pun kapiaq Siam dok di sini. Macam tu jugak di Pulau Tongtong di sempadan balik sana.. di Myanmar. Semuanya Islam, cakap Kedah belaka. Depa pun kawan-kawan kita jugak.” Katanya lagi.

“Al-hamdulillah!”

“Jom ke rumah saya. Kita makan-makan. Lepas tu, kalau nak jalan-jalan melawat pulau ni boleh la. Hujung sana ada sebuah masjid, sekolah taman bimbingan Islam, cikgunya mai dari Pattani dan ada juga sebuah pusat kesihatan kecik kerajaan…”

Dari jeti saya diiring ke rumahnya. Di perjalanan anak mereka sedang mandi-manda di air laut yang sedang pasang. Berbogel.. dan terjun, menyelam, berkejar-kejaran. Ikan-ikan kecil berlarian di air yang bagaikan cermin jernihnya. Se sampai di rumahnya, isterinya terus masak nasi tengahari dengan ikan besar yang baru di tangkap dari laut sebagai lauk. Bila dimakan jelas terasa lemak manis dan sedapnya. “Al-hamdulillah! Allah pertemukan saya dengan mereka yang se agama di sini, tidak disangka-sangka!” Kotak fikir bergolak.

“Kalau nak jalan-jalan di pulau ni, silakan! Nak tidur dan bermalam di sini pun takpa, rumah saya sentiasa terbukak!!” Katanya ikhlas mempelawa saya. Saya sempat melawat sekitar pulau itu dan akhir singgah solat di masjid.

“Maaf. Saya memang suka tidur di sini, tetapi saya sudah berjanji dengan seseorang untuk tidur di rumahnya di bandar Ranong malam ini.” Saya jelaskan.

“Oh, kalau lagu tu takpa. Takpa nu. Kalau ada umuq lain kali kita jumpak lagi, insya Allah!!”

Masih terngiang-nyiang di telinga saya, pesanan akhir darinya sewaktu menghantar saya di pelabuhan. Katanya, “Bila hang sampai di Malaysia jumpak orang Kedah, kalau ada kesempatan kirim salam kat depa nu, kata kat dia… Nun jauh hampiaq ribu-ribu batu dari negeri hampa di ujung selatan Burma sana, ada sekumpulan manusia yang sama keturunan dengan hampa sama-sama Kedah, sama-sama cakap Kedah sedang teringat dan rindu kat hampa. Mai la ziarah kami, bila-bila masa saja, kami sentiasa tunggu dengan gembira! Mai la!!”

Hal ini berlaku kira-kira 10 tahun yang lalu. Bersambung.. Insya Allah.

Sila ikuti catatan perjalanan penulis ke Kemboja, Thailand, Myanmar, Indonesia, Filipina, Pakistan dan Saudi Arabia di blog penulis bawah tajuk-tajuk berikut:

i. Orang Melayu Kemboja I & 2 ii. Demontrasi Adalah Tunjuk Perasaan I & 2 iii. Wanita Muda Kehausan I & 2 iv. Kerdipan Sebelah Mata Pelacur 1 & 2 v. Jajah Melalui Fikiran, Budaya & Filem…

Catatan Perjalanan: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 15-04-08KL.

No comments:

Post a Comment